Kenapa Gaji Overtime Tidak Dikira Penuh Dalam Pembiayaan Rumah?

Mempunyai pendapatan lebih masa merupakan satu kelebihan pada para pekerja yang hanya mempunyai pendapatan tetap dan elaun tetap. Adakalanya pendapatan lebih masa atau overtime ini mempunyai nilai yang lebih besar dari bayaran elaun tetap yang diterima oleh seseorang.  Overtime berdasarkan jumlah kerja lebih masa seseorang pekerja pada bulan tersebut.  Bayaran pula bergantung kepada gaji asas seseorang dan berapa jam pula overtime yang dilakukan.

Secara kasarnya, overtime ini kelihatan seperti tetap pada setiap bulan, namun sesetengah pemberi pinjaman tidak melihat overtime ini sebagai satu pendapatan yang tetap dan adakalanya jumlah overtime bulanan itu akan dikira secara purata untuk mendapatkan satu nilai purata pendapatan. Pendapatan ini akan dimasukkan kedalam kiraan asas gaji peminjam bersama elaun tetap yang lain. Ada sesetengah peminjam bertanyakan:

“kenapa tak kira penuh? kan tu dapat tiap tiap bulan. Memang overtime wajib pun ni tuan”

gaji overtime
gaji overtime

 

Kenapa Gaji Overtime Tidak Dikira Penuh?

Mengapa? Ini pendapat saya secara rasional. Pemberi pinjaman melihat overtime sebagai satu pendapatan yang sering berubah pada setiap bulan. Jika dilihat dari sudut nilai adakalanya ia tidak menentu. Ada masa ianya tinggi dan adakalanya bayaran itu rendah. Ianya berbalik semula kepada faktor jam pekerja itu melakukan kerja lebih masa.

Di sini merupakan satu risiko bagi pihak pemberi pinjaman untuk mengandaikan ianya akan sentiasa kekal pada bila bila masa. overtime boleh berubah dengan pelbagai faktor di dalam syarikat seperti penambahan kakitangan ataupun pengurangan pengeluaran. Jika pengurangan pembayaran lebih masa ini berlaku, pihak pemberi pinjaman akan mengandaikan pendapatan yang dimiliki oleh peminjam akan berlaku penyusutan. Bila adanya penyusutan ini, peminjam boleh berhadapan risiko kekurangan tunai untuk melunaskan pembayaran ansuran bulanan mereka tidak termasuk perbelanjaan harian seisi keluarga.

Jika perkara ini berlaku, peminjam yang akan mengalami masalah seperti kelewatan pembayaran dan tunggakan. Secara logiknya jika berlaku sudah pasti akan adanya faedah diatas kelewatan pembayaran. Walaupun ini secara kasarnya seperti satu keuntungan kepada pemberi pinjaman namun seboleh bolehnya risiko ini cuba dielakkan dari awal lagi demi menjaga keselesaan si peminjam.

Ingat, pembiayaan perumahan anda bukanlah satu pembiayaan yang semudah seperti pembiayaan kereta ataupun kad kredit. Ianya akan melibatkan jumlah faedah yang tinggi tanpa anda sedari lebih lebih lagi jika anda mengambil pinjaman berasaskan sistem konvensional.  Jadi di sini secara tidak langsung pihak pemberi pinjaman cuba untuk melindungi peminjam dari awal lagi tentang kredibiliti dan keupayaan peminjam untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan.

Diharap selepas ini anda yang mempunyai pendapatan overtime didalam penyata gaji bulanan anda akan lebih faham tentang mengapa elaun lebih masa itu tidak dikira sepenuhnya. Kebiasaannya para pegawai pembiayaan akan menerangkan tentang hal ini terlebih dahulu ketika anda membuat permohonan. Jika tidak, anda boleh sahaja bertanyakan kepada mereka untuk mendapatkan kepastian.