Siapakah Ejen Hartanah / Real Estate Negotiator (REN)?
Ejen hartanah adalah individu yang diberi lesen oleh Lembaga Penilai Pentaksir & Ejen Hartanah (LPPEH) dalam menguruskan proses jual beli, sewaan atau pajakan hartanah. Mereka juga dikenali sebagai Real Estate Negotiator (REN). Lesen ini tidak bersifat kekal. Lesen ini boleh ditarik balik sekiranya mereka tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan ketika menjalankan urusniaga.
Untuk menjadi ejen hartanah berdaftar, mereka wajib mengikuti kursus di Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) dan mendapatkan sijil pengiktirafan setelah tamat kursus tersebut.
Kemudian, mereka juga wajib berdaftar dengan agensi hartanah dan mendapatkan nombor kad identiti beserta nombor ID unik yang dikeluarkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir & Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH).
Perbezaan antara REN dan juga broker haram ialah aktiviti mereka dipantau oleh LPPEH. Sebarang aktiviti penipuan boleh dikenakan tindakan keras.
Selain dari itu, pembeli atau penjual hartanah juga boleh menyemak status pendaftaran REN di laman sesawang LPPEH.
Contoh kad identiti REN;
Bidang Kerja Ejen Hartanah / Real Estate Negotiator (REN)
REN bertindak sebagai orang tengah antara pembeli dengan pihak bank dan juga peguam. Untuk pihak penjual pula, REN bertindak sebagai orang tengah antara penjual dan peguam.
REN bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal berkaitan urusan jual beli hartanah. Mereka juga adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencari pembiayaan perumahan terbaik pada pembeli, mencari peguam terbaik untuk menguruskan segala prosedur dalam proses jual beli hartanah.
Selain dari itu, mereka juga akan sentiasa mengikuti perkembangan peguam dan pihak bank dan mereka juga orang yang bertanggungjawab mengingatkan peguam dan pihak bank supaya menyelesaikan semua prosedur dalam masa yang ditetapkan.
Berapa Jumlah Caj Perkhidmatan Yang Dikenakan Pada Pemilik Hartanah?
Caj perkhidmatan yang dibenarkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir & Ejen Harta Tanah Malaysia untuk dikenakan kepada pelanggan adalah hanya sebanyak 3.24% sahaja termasuk SST dari nilai jual hartanah. Caj perkhidmatan ini juga disebut sebagai earnest deposit dan caj ini ditolak dari harga jualan hartanah. Perlu diingatkan bahawa caj perkhidmatan ini perlu dibayar pada agensi hartanah dan bukan pada REN. Caj perkhidmatan bersifat tidak tetap dan akan dipulangkan semula kepada pihak pembeli sekiranya permohonan pembiayaan rumah pembeli di bank ditolak.
Bayaran Lain Selain Caj Perkhidmatan
Bayaran lain yang biasa dikenakan selain caj perkhidmatan ialah yuran guaman. Kebiasaannya pihak peguam akan mengeluarkan invois secara terus kepada pembeli.