Pernah anda dengar tentang insuran rumah? Dengar je perkataan insuran mesti anda akan fikir kena bayar bulan-bulan. Tidak semestinya! Terdapat dua jenis insuran yang biasa ditawarkan apabila anda membeli rumah iaitu MRTA/MRTT dan MLTA/MLTT. Jom saya terangkan apakah MRTA/MRTT dan MLTA/MLTT serta perbezaannya.
Apa maksud MRTA / MRTT & MLTA / MLTT?
MRTA bermaksud mortgage reducing term assurance manakala MRTT bermaksud mortgage reducing term takaful.
MLTA pula bermaksud mortgage leveling term assurance manakala MLTT bermaksud mortgage leveling term takaful.
Apakah perbezaan assurance dan takaful serta reducing dan leveling? Saya akan terangkan dalam bahagian seterusnya.
Konvensional dan Takaful
Perbezaan assurance dan takaful adalah Assurance adalah perlindungan insuran untuk pembiayaan hartanah konvensional manakala Takaful adalah perlindungan insuran untuk pembiayaan islamik. Pembeli hartanah beragama islam digalakan untuk mengambil insuran jenis ini.
Secara kesimpulannya, MRTA / MLTA adalah pilihan terbaik jika anda membuat pembiayaan hartanah secara konvensional manakala MRTT / MLTT pula adalah pilihan terbaik jika anda pilih pembiayaan islamik.
Beza “R” Dan “L” Dalam MRTA/MRTT & MLTA/MLTT
“R” bermaksud Reducing
“L” bermaksud Leveling
Terdapat perbezaan dari segi pembayaran premium dan juga perlindungan hartanah bagi insurans jenis reducing dan leveling. Saya akan terangkan perbezaan dua kategori insuran ini dalam bahagian seterusnya.
MRTT/MRTA
Insuran jenis ini kebiasaannya akan dicampurkan sekali dengan pembiayaan hartanah. Untuk pembeli rumah pertama, margin pembiayaan anda akan menjadi 90% + 5%. Tambahan 5% ini adalah lebihan wang yang ditawarkan oleh bank untuk kos guaman, MRTA/MRTT dan juga kos valuation.
MRTA / MRTT hanya perlu dibayar sekali sahaja ketika dalam proses pembelian hartanah. Nilainya juga adalah lebih rendah jika dibanding dengan MLTT/MLTA.
Sekiranya berlaku kematian pemilik hartanah, insurans MRTT/MRTA akan membayar baki hutang hartanah dengan bank. Tiada nilai “cash value” dalam insuran ini.
Nilai insuran juga menurun mengikut baki hutang pembiayaan hartanah dengan bank.
Pesanan dari saya, pastikan perlindungan MRTA/MRTT hartanah anda mengikut perancangan matlamat pembelian anda. Katakan anda merancang untuk tinggal selamanya maka, ambil penuh 35 tahun atau mengikut jangka masa hutang yang ditetapkan oleh bank.
MLTT/MLTA
Insuran rumah jenis ini lebih berbentuk hampir sama seperti insuran peribadi atau “Life” insuran. Insurans ini tidak termasuk dalam pembiayaan hartanah. Premiumnya perlu dibayar setiap bulan dan kosnya agak mahal. Selain itu, wujud risiko “defaults” sekiranya anda lapse atau lewat membayar premium bulanan.
Namun begitu, insuran ini mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan MRTT/MRTA. Antaranya ialah;
- Jika berlaku kematian, waris bakal miliki sejumlah wang dalam bentuk “Cash” bagi melangsaikan hutang rumah tersebut.
- Nilai “Cash” tersebut kebiasaannya sama dengan jumlah pembiayaan hartanah dan kekal selagi anda tidak lapse bayaran premium.
- Sebaiknya waris langsaikan dulu hutang pembiayaan hartanah dengan bank terdahulu sebelum duit tersebut digunakan untuk tujuan lain.
- Boleh dipindah kepada hartanah lain, bermaksud jika hartanah A yang awalnya dilindungi tadi sudah dijual, ianya boleh dipindah kepada hartanah B atau ke C.
Kesimpulan
Kedua-dua insuran rumah di atas mempunyai kebaikan dan kelemahan masing masing anda boleh pilih mengikut kemampuan anda untuk memilih mana terbaik untuk anda. Namun perlu saya ingatkan, untuk pembeli beragama islam, anda wajib memilih sama ada MRTT atau MLTT sahaja. Hal ini kerana melanggan insuran konvensional adalah salah dari sisi agama Islam.