Leasehold vs Freehold: Hartanah Mana Yang Lebih Baik?

Kebiasannya, apabila anda sedang mencari hartanah untuk dibeli, anda akan selalu ternampak perkataan LEASEHOLD atau FREEHOLD dalam iklan hartanah. Namun apakah maksud FREEHOLD dan LEASEHOLD?

Secara umumnya, freehold dan leasehold merujuk kepada status pegangan hartanah oleh pemilik hartanah. Status ini hanya merujuk kepada hartanah telah mempunyai geran individu atau geran strata.

Sebelum saya terangkan tentang maksud freehold dan leasehold dengan lebih mendalam, saya akan terangkan terlebih dahulu tentang proses pemilikan tanah di Malaysia dan bagaimana boleh wujudnya status leasehold dan freehold.


Asas Proses Pemilikan Hartanah di Malaysia

leasehold vs freehold

Pemilikan hartanah di Malaysia dilindungi oleh akta Kanun Tanah Negara. Ini bermaksud apabila anda mempunyai pemilikan sah ke atas sesebuah hartanah, orang lain tidak boleh merampas hartanah secara suka-suka. Pertukaran pemilikan hartanah wajib dilakukan mengikut akta kanun tanah negara dan juga akta pengambilan tanah.

Pada asalnya, semua hartanah yang beralamat di Malaysia adalah milik kerajaan negeri masing-masing. Sebagai contoh, hartanah di daerah Kuala Kangsar adalah hak milik Kerajaan Negeri Perak. Namun begitu, individu atau syarikat korporat di Malaysia boleh memohon untuk memiliki sebahagian hartanah dari kerajaan negeri melalui proses pengasingan.

Apabila permohonan diluluskan, hartanah akan bertukar hak milik dari kerajaan negeri ke nama pemilik baru. Pemilik baru akan menerima tanah sama ada untuk suatu tempoh tertentu atau menerima tanah tanpa had tempoh/untuk selama-lamanya,.

Bagi pemilik yang menerima hartanah untuk suatu tempoh tertentu, mereka akan menerima geran dalam bentuk hakmilik pajakan atau LEASEHOLD.

Selain itu, bagi pemilik yang menerima hartanah tanpa had tempoh/untuk selama-lamanya, mereka akan menerima geran dalam bentuk hakmilik kekal atau FREEHOLD.

Namun begitu, hartanah yang diterima bukanlah percuma. Untuk hartanah berstatus freehold, pemilik wajib membayar cukai tanah. Untuk tanah berstatus leasehold, pemilik wajib membayar cukai tanah dan juga premium pajakan hartanah.


Hartanah Freehold

Seperti yang saya katakan di atas tadi, freehold adalah status pemilikan tanah tanpa had tempoh/untuk selama-lamanya. Untuk semak dan pastikan tanah anda berstatus freehold, rujuk geran hartanah anda. Lihat pada muka surat pertama. Dalam geran akan tertulis ayat seperti “Geran untuk selama-lamanya…” atau “Tanah yang diperihalkan di atas adalah dipegang untuk selama-lamanya…”.

 

BAGAIMANA PULA DENGAN PROSES TUKAR HAK MILIK HARTANAH FREEHOLD?

Proses tukar hak milik untuk hartanah freehold lebih cepat berbanding leasehold (lebih kurang 90 hari). Hal ini kerana hartanah freehold tidak memerlukan kebenaran dari kerajaan negeri untuk proses tukar hakmilik. Selain itu, hartanah freehold berstatus bumiputera boleh dijual kepada pembeli bukan bumiputera.

Namun begitu, terdapat juga hartanah freehold yang mempunyai sekatan kepentingan yang boleh mengganggu proses tukar hak milik. Nasihat saya, semak geran hartanah anda terlebih dahulu sebelum anda berniat untuk menjual hartanah anda.

 

Hartanah Leasehold

Seperti yang saya katakan di atas tadi, leasehold adalah status pemilikan tanah untuk suatu tempoh tertentu. Untuk semak dan pastikan hartanah anda berstatus leasehold, rujuk geran hartanah anda. Lihat pada muka surat pertama. Dalam geran akan tertulis ayat seperti “Pajakan selama tempoh 99 tahun berakhir pada……” yang bermaksud pemilikan hartanah  tersebut sah untuk 99 tahun sahaja.

Ada juga hartanah yang mempunyai tempoh pemilikan yang lebih pendek (30 tahun atau 60 tahun) atau lebih panjang (999 tahun). Setelah habis tempoh pemilikan, anda kena bayar premium untuk perbaharui tempoh pemilikan hartanah anda.


Berapa Jumlah Premium Yang Kena Bayar Bagi Hartanah Kuala Lumpur & Selangor?

Hartanah Kuala Lumpur

Untuk hartanah kuala lumpur, jumlah premium yang perlu dibayar adalah berdasarkan formula berikut;

  • 1/4 x 1/99 x (Tempoh pajakan – baki tahun pajakan) x Luas Tanah (sqft) x Harga Pasaran hartanah dalam kaki persegi (RM/sf)

Sebagai contoh, Aidil mempunyai sebuah kondominium berkeluasan 1300 sqft dengan tempoh pemilikan berbaki 30 tahun. Harga pasaran semasa kondominium beliau dalam kaki persegi ialah RM 400/sqft. Jumlah premium yang perlu dibayar adalah;

  • ¼ x 1/99 x (99 tahun – 30 tahun) x 1300 sqft x RM 400/sqft = RM 90,606

 

Hartanah Selangor

Untuk hartanah Selangor pula, ada dua pilihan yang ditawarkan. Pilihan pertama adalah dengan membayar RM 1000 sahaja untuk perbaharui pemilikan hartanah leasehold untuk tempoh 99 tahun. Sekiranya anda memilih pilihan pertama, kerajaan negeri akan meletakkan kaveat yang menghalang anda untuk jual hartanah tersebut pada orang lain.

Pilihan kedua pula adalah membayar premium seperti biasa. Jumlah premium yang perlu dibayar adalah berdasarkan formula berikut;

  • 1/4 x 1/100 x (Tempoh pajakan – baki tahun pajakan) x Luas Tanah (sqft) x Harga Pasaran hartanah dalam kaki persegi (RM/sf)

Bagi pilihan kedua pula, anda boleh menjual hartanah leasehold anda kepada orang lain seperti biasa.

 

Bagaimana Pula Dengan Proses Tukar Hak Milik Hartanah Leasehold?

Dari segi proses pertukaran hakmilik pula, setiap transaksi pertukaran hak milik perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa kerajaan negeri. Kebiasaannya proses tukar hakmilik hartanah leasehold lebih lama berbanding freehold. Selain itu, hartanah leasehold yang dimiliki oleh kaum bumiputera tidak boleh  ditukar milik kepada pembeli bukan bumiputera.

Seperti hartanah freehold, hartanah leasehold juga mempunyai sekatan kepentingan yang boleh mengganggu proses tukar hak milik. Semak geran hartanah anda terlebih dahulu sebelum anda berniat untuk menjual hartanah leasehold anda.


Rumusan Leasehold vs Freehold

  1. Hartanah Leasehold kebiasaannya mengambil masa yang lebih panjang untuk ditukar milik berbanding freehold.
  2. Proses tukar hak milik hartanah freehold adalah lebih senang berbanding leasehold kerana tidak memerlukan kebenaran dari kerajaan negeri.
  3. Bank sukar nak bagi pembiayaan untuk hartanah leasehold yang berusia bawah 40 tahun.
  4. Kebiasannya, harga hartanah leasehold adalah lebih rendah dan lebih mampu milik berbanding freehold.

 

Freehold VS Leasehold, Mana Patut Yang Saya Pilih?

leasehold vs freehold

Sekiranya anda tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor, perlu saya ingatkan bilangan hartanah freehold yang sedia ada amatlah terhad. Terutama di kawasan tengah bandar. Melabur dalam hartanah leasehold bukanlah suatu isu yang perlu risau. Sekiranya anda ingin melabur dalam hartanah leasehold di Kuala Lumpur, pastikan;

  • Baki tahun pajakan di atas 40 tahun. Sekiranya di bawah 40 tahun, pastikan ianya boleh diperbaharui.
  • Mempunyai akses jalan raya dan juga pengangkutan awam
  • Dekat dengan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, pasar raya dan lain-lain.
  • Hartanah berada di bawah harga pasaran
  • Mempunyai permintaan sewa yang tinggi

Mengenai Penulis

Aidilfitri adalah ejen hartanah berdaftar di CBD Properties Sdn Bhd. Beliau aktif dalam urusan jual / beli / sewa hartanah di Kuala Lumpur. Sekiranya tuan / puan ingin membeli /menyewa atau menjual hartanah, tuan / puan boleh menghubungi beliau melalui telefon atau Whatsapp di 011 1234 2044.

Cari Artikel / Search Article

Nak Semak Kelayakan Loan Rumah Anda? Klik Gambar Ni Sekarang!

Nak Semak Market Value Rumah Anda? Klik Gambar Ni Sekarang!