Apakah itu Pengurusan Strata / Hakmilik Strata?

Apabila anda membeli rumah bertingkat seperti apartment dan kondominium, anda akan terjumpa ayat “Akta Hakmilik Strata” dalam geran rumah anda. Namun apakah itu Strata? Jom saya terangkan maksudnya di bawah.

 

Apakah itu Pengurusan Strata/Hakmilik Strata?

strata act

Pengurusan strata/hakmilik strata adalah suatu kaedah pembahagian bangunan atau tanah kepada;

  • Petak
  • Harta bersama
  • Petak aksesori

Ketiga-tiga perkara di atas diuruskan oleh sistem pengurusan strata.

Kenapa Wujudnya Pengurusan Strata?

strata title

Kerana terdapat sejumlah hartanah yang berkongsi lot tanah yang sama. Hal ini dapat dilihat dalam hartanah bertingkat seperti flat, apartment, kondominium, rumah kedai, townhouse dan lain-lain.

 

Apakah itu Petak?

Petak adalah unit individu bagi setiap hartanah yang berkongsi lot tanah yang sama. Sebagai contoh, setiap 1 unit apartment dikira sebagai 1 petak. Pemilik bagi setiap unit apartment disebut sebagai pemilik petak.

 

Apakah itu Harta Bersama?

Harta bersama adalah harta yang tidak merujuk kepada mana-mana pemilik hartanah/petak. Harta ini adalah untuk kegunaan bersama. Contohnya seperti tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama dan pondok pegawai keselamatan.

Apakah itu Petak aksesori?

Petak aksesori adalah petak lain yang dimiliki dan digunakan secara khas oleh seorang pemilik petak apabila dia membeli 1 unit hartanah/petak di sana.

Sebagai contoh, anda membeli sebuah apartment/petak beserta dengan 2 parking khas. 2 parking khas ini adalah petak aksesori yang dimiliki oleh anda. Ianya boleh digunakan oleh anda seorang sahaja.

 

Apakah Kepentingan Pengurusan Strata Kepada Pemilik Petak?

  • Sebagai bukti sah pemilikan hartanah terhadap pemilik petak.
  • Untuk memudahkan urusan jual beli hartanah berstrata

 

Apakah Hak Pemilik Petak

  • Pemilik petak boleh membuat sebarang urusniaga terhadap hartanah strata mereka sama ada menjual atau menyewakan hartanah mereka.
  • Mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau apa-apa mesyuarat yang dikendalikan oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).
  • Mempunyai hak ke atas harta bersama berdasarkan pada unit syer yang telah diperuntukkan
  • Hak ke atas sokongan utiliti (air dan elektrik) atau perkhidmatan berkaitan seperti pengurusan perparitan, pungutan sampah dan juga pengurusan pembentungan.
  • Pemilik petak juga berhak meneliti rekod dan akaun oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) bagi mengelakkan sebarang salah laku.

 

Apakah Tanggungjawab Pemilik Petak?

  • Melunaskan bayaran caruman atau caj penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).
  • Mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) atau apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam/tempatan.
  • Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan sebarang mesyuarat yang dikendalikan oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).

 

Apakah Larangan Terhadap Pemilik Petak?

  • Menggunakan petak atau hartanah untuk tujuan yang menyalahi undang-undang
  • Membuang sampah atau sebarang kotoran di kawasan harta bersama atau kawasan yang tidak sepatutnya.
  • Menggunakan sebarang bahan api yang boleh mendatangkan asap atau bau busuk.
  • Memelihara binatang yang boleh menyebabkan gangguan pada pemilik petak lain.

 

Siapakah Yang Bertanggungjawab Menguruskan Hartanah Strata?

  • Hartanah strata diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).

 

Apakah kuasa Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) terhadap Hartanah Strata?

  • Menentukan bayaran caruman/caj penyelenggaraan yang perlu dibuat oleh pemilik hartanah/petak kepada tabung Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).
  • Mematuhi notis atau sebarang arahan dari pihak berkuasa sekiranya Badan Pengurusan Bersama ingin membuat apa-apa tindakan ke atas harta bersama.
  • Mengambil tindakan ke atas hartanah atau petak sekiranya pemilik hartanah/petak gagal mematuhi arahan dari Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body).

 

Apakah Tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body)?

  • Mengurus serta menyelenggara harta bersama supaya dapat memberi faedah kepada pemilik hartanah/petak.
  • Melindungi hartanah dengan perlindungan insuran dari sebarang kejadian seperti kebakaran dan lain-lain risiko.
  • Membayar premium insuran serta perkara-perkara lain yang telah ditetapkan.
  • Menyediakan peti surat untuk pemilik hartanah/petak.