Bila dengar tentang rumah lelong, pasti anda terbayangkan hartanah yang sedang dilelong. Namun pernahkah anda terfikir apakah rumah lelong? Adakah ianya rumah second hand? Rumah lama atau rumah tak laku?
Rumah lelong adalah hartanah yang dilelong atau dijual semula oleh bank pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran semasa. Hal ini terjadi disebabkan oleh pembeli terdahulu tidak mampu membayar ansuran bulanan sehingga menyebabkan bank terpaksa mengambil tindakan undang-undang dan menjual semula rumah tersebut kepada mereka yang mampu di dalam acara lelongan.
Membeli hartanah jenis sebegini tidaklah semudah membeli rumah baru atau rumah subsale/second hand. Banyak risiko yang perlu dianalisa sebelum membeli hartanah jenis ini. Sebagai contoh, sekiranya anda bernasib baik, anda dapat membeli rumah lelong yang berkeadaan baik. Namun ada juga kes di mana rumah yang dibeli dalam acara lelongan mempunyai keadaan dalaman yang teruk. Kos untuk pemulihan rumah tersebut tidak masuk akal, menyebabkan pembeli rumah menanggung kerugian yang tidak sepatutnya.
Sekiranya anda ingin membeli hartanah jenis ini, saya sarankan guna khidmat ejen hartanah yang fokus pada hartanah lelong. Minta nasihat dan panduan terbaik dari mereka. Kemudian lakukan penilaian risiko yang bakal anda hadapi apabila anda menang dalam acara lelongan ini. Apabila semuanya sudah jelas, buat persiapan secukupnya dan mulakan langkah pertama anda dalam pelaburan hartanah.
Kunci kepada kejayaan dalam membeli sebuah hartanah lelong ialah ILMU. Dengan ILMU yang cukup, anda mampu membeli hartanah ideal dalam acara lelongan, mengurangkan risiko ketika membeli hartanah lelong dan juga membuat keuntungan selepas membeli hartanah lelong.
Bersambung di Pelaburan Rumah Lelong: Adakah Ia Sesuai Untuk Anda?